Thursday 23 July 2009

048 SURAH AL - FATH


BismillahirRahmanirRahim
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



KLIK SINI UNTUK BACA
DAN DENGAR SURAHNYA:

048 SURAH AL – FATH (29 ayat)



RENGKASAN AYAT

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu suatu jalan kemenangan. Ia menyebabkan Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang akan datang. Dan akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan mengembangkan Islam dan perlaksanaan hukumnya.


Dan dengan sebablah Allah memberikanmu pertolongan mencapai kejayaannya. Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman semasa mereka meradang terhadap angkara musuh. Supaya mereka bertambah iman dan yakin. Allah menguasai tentera langit dan bumi dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Allah melakukan demikian supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman ke dalam SyurgaNya dalam keadaan kekal. Ini merupakan kejayaan yang besar untuk mereka.


Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik, yang musyrik, yang menyangka Allah dengan sangkaan yang buruk. Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam, seburuk-buruk tempat kembali.


Allah mengutusmu Muhammad sebagai Rasul yang menjadi saksi dan pembawa berita gembira kepada mereka yang beriman, serta pemberi amaran kepada mereka yang ingkar. Muhammad diutuskan supaya baginda dan umatnya beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya mereka beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.


Sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.


Orang-orang "A'raab" (kaum Arab Badwi) yang tidak turut bersamamu ke Hudaibiyah akan berkata kepadamu bahawa mereka dihalangi oleh urusan menjaga harta benda dan anak isteri mereka dan meminta diampunkan oleh Allah. Mereka berkatanya dengan lidah bukan dengan hati mereka. Katakanlah: "Jika demikian maka sesiapakah yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat?”


Sebab sebenarnya ialah mereka takut tidak akan kembali lagi kepada isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya. Sangkaan ini diperelokkan oleh Syaitan. Mereka menyangkan buruk terhadap Allah dan Rasilnya dan dengan itu menjadilah mereka kaum yang rosak binasa.


Ingatlah bahawa sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan bagi mereka api neraka yang menjulang-julang. Dan ingatlah bahawa kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak Allah. Ia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya dan Ia juga berkuasa menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya.


Orang-orang munafik yang tidak turut berjuang, selepas angkatan perang berjaya dan mendapat harta rampasan perang berkata:

# - “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!"

Mereka ingin mendapatkan sebahagian rampasan perang walhal peraturan hanya membenarkan mereka yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta tersebut. Katakanlah:

# - "Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; Ianya dilarang Allah sejak dahulu. Mereka akan berkata pula:

# - "Bukan Tuhan yang melarang bahkan kamu dengki kepada kami",


Katakanlah kepada mereka yang tidak turut berjuang bersama-samamu:

# - "Kamu akan diajak menentang satu kaum yang sangat kuat gagah untuk diperanginya,

# - atau mereka menurut perintah Islam (secara damai).

Jika kamu taat menjalankan perintah Allah ini,

# - Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik di dunia dan akhirat, dan kalau

# - kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah

# - akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya".


Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, orang tempang, dan orang sakit untuk tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya.


Allah redo akan mereka yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia di bawah naungan pohon di Hudaibiyah; diketahuilahkebenaran iman dan taat setia dihati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan dalam masa terdekat. Dan juga dapat memperolihi banyak harta rampasan perang. Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Sekiranya orang-orang kafir Makkah itu memerangi kamu di Hudaibiyah, tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan, kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau memberikan pertolongan. Kekalahan penentang Rasul Allah sudah menurut "Sunnatullah" peraturan Allah. Dia lah yang telah menahan tangan mereka daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah. Sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan ingatlah, Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.


Mereka yang kafir menghalang kamu daripada masuk ke masjid Al-Haraam (Makkah Al-Mukarramah) serta menyebabkan binatang korban yang kamu bawa tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya. Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan yang tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman yang berada di antara mereka pada hal kamu tidak mengetahui mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung kesusahan dan dukacita disebabkan pembunuhan mereka, tentulah diizinkan kamu menyerang kaum musyrik yang mengancam kamu itu. Kalaulah penduduk Makkah yang beriman dan yang musyrik itu berpisah tentulah Kami menyeksa kafir dari mereka dengan seksa di dunia yang tidak terperi sakitnya.


Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman sehingga tercapailah perdamaian, serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa”. Ketika itu orang kafir itu merasa sombong angkuh yang ada dalam hati mereka terhadap kebenaran Islam yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu. Allah adalah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.


Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam insya Allah pada masa yang ditentukanNya dalam keadaan aman menyempurnakan ibadat umrah kamu tanpa merasa takut. Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu kerana Ia mengetahui adanya feadah dalam penangguhan itu yang kamu tidak mengetahuinya.



Nabi Muhammad (s.a.w) dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama umat Islam. Tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang soleh terdapat muka mereka dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat. Kitab Injil pula ialah menyatakan bahawa mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas pangkal batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

TAMAT - RENGKASAN AYAT


AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA

048 SURAH AL – FATH (29 ayat)


[1] Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,


[2] Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).


[3] Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).


[4] (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


[5] (Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);


[6] Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.


[7] Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


[8] Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).


[9] (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.


[10] Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.


[11] Orang-orang "A'raab" (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): "Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami". Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad: "Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun, dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Ia akan membalasnya).


[12] "(Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi kepada akan isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya; dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu (serta menerimanya); dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap ugama Allah yang dibawa oleh RasulNya); dan (dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak binasa".


[13] Dan (ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang menjulang-julang.


[14] Dan (ingatlah juga bahawa) kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak kepunyaan Allah, Ia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga berkuasa menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


[15] Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!" Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi". Mereka akan berkata pula: "(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu dengki kepada kami", (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata).


[16] Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: "Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan akhirat), dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya".


[17] Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.


[18] Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;


[19] Dan juga dengan banyak harta rampasan perang, yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.


[20] (Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus.


[21] Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


[22] Dan sekiranya orang-orang kafir (dari penduduk Makkah) itu memerangi kamu (di Hudaibiyah), tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan; kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau memberikan pertolongan.


[23] (Kekalahan orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.


[24] Dan Dia lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.


[25] Mereka itulah orang-orang yang kafir dan menghalang kamu daripada masuk ke masjid Al-Haraam (Makkah Al-Mukarramah) serta (menyebabkan) binatang-binatang korban (yang kamu bawa): tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya. Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan yang tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman, lelaki dan perempuan, yang ada di antara orang-orang kafir itu, pada hal kamu tidak mengetahui mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung kesusahan dan dukacita disebabkan pembunuhan mereka, - (tentulah diizinkan kamu menyerang kaum musyrik yang mengancam kamu itu). (Tetapi tidak diizinkan) kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Kalaulah mereka (penduduk Makkah - yang beriman dan yang musyrik) itu berpisahan (di antara satu puak dengan yang lain), tentulah Kami menyeksa orang-orang yang kafir dari mereka dengan seksa (di dunia) yang tidak terperi sakitnya.


[26] (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


[27] Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).


[28] (Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu).


[29] Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.




KLIK SINI UNTUK

BACA DAN DENGAR

SURAHNYA:

http://www.alquran-melayu.com/48-al-fat-h/



No comments:

Post a Comment