Wednesday, 15 July 2009

033 SURAH AL - AHZAB




AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA
AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA

033 SURAH AL – AHZAAB

RENGKASAN SURAH


1. Wahai Nabi!

# - Taqwa kepada Allah dan janganlah engkau ikut kehendak orang kafir dan orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

# - Turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah. Allah sentiasa Mengetahui apa yang kamu lakukan.

# - Berserahlah kepada Allah dan janganlah mengharap kepada yang lain kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.


2. Allah tidak menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan

# - Ia tidak menjadikan isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu dan

# - Ia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri.

Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara yang tersebut itu hanyalah perkataan dengan mulut kamu sahaja. Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.


3. Panggilah anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi yang dikira berdosa itu ialah perbuatan yang disengajakan oleh hati kamu. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


4. Nabi lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang beriman daripada diri mereka sendiri dan isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak mewarisi akan setengahnya yang lain menurut hukum Kitab Allah daripada orang yang beriman dan orang Muhajirin(yang bukan kerabatnya, kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.


5. Bertaqwa kepada Kami dan ingatlah ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi perjanjian setia mereka dan dari engkau sendiri dan dari Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni Maryam.


6. Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera Al-Ahzaab, lalu Kami hantarkan angin ribut kencang serta angkatan malaikat. Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.


7. Masa tentera musuh datang dari semua arah pemandangan mata kamu tidak berketentuan kerana gempar dan bingung serta hati pun resah gelisah kerana cemas takut dan kamu pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.


8. Dan masa itulah orang munafik dan orang yang tidak sihat dan tidak kuat imannya berkata yang Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.


9. Dan juga masa itulah segolongan mereka berkata kepada penduduk Yathrib bahawa tempat ini bukan tempat bagi mereka berjuang, oleh itu baliklah. Sebahagian dari mereka menipu Nabi menyatakan yang rumah mereka memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri dari berjuang menegakkan Islam.


10.Pada hal mereka telah mengikat janji dengan Allah yang mereka tidak akan berpaling undur dari medan perang yang mereka hadiri. Dan ingatlah janji setia itu akan ditanya kelak.


11. Katakanlah bahawa kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu kerana kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan untuk sedikit masa sahaja.


12, Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu atau siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? Orang munafik itu perlu ingat bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah yang menjadi pelindung atau penolong mereka.


13. Allah mengetahui orang munafik di antara kamu dan juga orang yang menyuruh saudaranya bersatu bersamanya, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.


14. Mereka bersikap bakhil kedekut memberi pertolongan kepada orang mukmin. Tetapi apabila ancaman musuh datang mereka meminta pertolongan kamu. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu mereka mencela kamu. Mereka itu tidak beriman lalu Allah gugurkan amalan mereka.


15. Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi. Kalaulah mereka ada bersama kamu ketika itu, mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.


16. Diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.


17. Apabila orang beriman melihat tentera Al-Ahzaab berkatalah mereka: "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah apa yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya". Kehadiran angkatan tentera musuh tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Mereka bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah untuk berjuang membela Islam dan ada di antara mereka yang gugur syahid dan ada yang menunggu giliran tanpa mengubah janji mereka.


18.Allah akan membalas kebenaran mereka dan menyeksa orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


19. Dan Allah telah menghalau angkatan tentera kafir itu dengan keadaan mereka geram marah kerana gagal dan hampa tanpa sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang beriman dari bencana peperangan itu. Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.


20. Allah memasukkan perasaan gerun kepada golongan Ahli Kitab Yahudi yang membantu tentera musuh menyebabkan mereka menyerah diri lalu mereka diadili dan dijatuhkan hukuman dibunuh dan ditawan. Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka. Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


21. Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu bahawa sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya maka akan kamu berikan mut'ah dan lepaskan kamu. Akan tetapi jika sekiranya kamu mahukan keredaan Allah dan RasulNya serta kemewahan negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi oran yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar.


22. Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan sesiapa tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda juga.


23. Kamu bukanlah seperti lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata dengan lembut manja semasa bercakap dengan lelaki asing kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya. Sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan.


24. Dan hendaklah kamu

# - tetap diam di rumah kamu

# - janganlah mendedahkan diri seperti dilakukan oleh orang Jahiliyah

# - dirikan sembahyang

# - berilah zakat; dan

# - taatlah kepada Allah dan RasulNya.

Sesungguhnya Allah perintahkan kamu hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersihnya dari segala perkara yang keji.


25. Ingat dan serta amalkanlah

# - ayat-ayat Allah Al-Quran dan

# - hadis-hadis Rasulullah.


26. Sesungguhnya

# - lelaki yang Islam serta perempuan yang Islam,

# - lelaki yang beriman serta perempuan yang beriman,

# - lelaki yang taat serta perempuan yang taat,

# - lelaki yang benar serta perempuan yang benar,

# - lelaki yang sabar serta perempuan yang sabar,

# - lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta perempuan yang merendah

diri (kepada Allah),

# - lelaki yang bersedekah serta perempuan yang bersedekah,

# - lelaki yang berpuasa serta perempuan yang berpuasa,

# - lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan yang memelihara

kehormatannya, dan

# - lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta perempuan yang menyebut

nama Allah banyak-banyak,

Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.


27. Ingatlah ketika engkau berkata kepada mereka yang dikurniakan Allah nikmat Islam dan yang engkau menyatakan kepadanya supay jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah. Kemudian setelah Zaid menceraikannya isterinya, Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak akan keberatan orang yang beriman untuk berkahwin dengan bekas isteri anak angkat mereka.


28. Wahai orang-orang yang beriman,

# - ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan sebanyak-banyaknya;

# - bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.


29. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita kufur maksiat kepada cahaya terang iman dari taat.


30. Maka sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman bahawa mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.


31. Janganlah engkau

# - menurut kehendak orang kafir dan orang munafik dan

# - engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta

# - berserahlah kepada Allah dan

# - cukuplah Allah menjadi Pelindung.


32. Wahai orang yang beriman apabila kamu berkahwin dengan

# - perempuan-perempuan yang beriman,

# - kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya,

# - maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu

boleh hitungkan masanya. Oleh itu,

# - berilah "mut'ah" sagu hati kepada mereka, dan

# - lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.


33. Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu

# - isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan

# - hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari tawanan perang;


34. Dan dihalalkan juga bagimu berkahwin dengan

# - sepupumu, iaitu: anak perempuan bapa saudaramu sebelah bapa serta

# - anak perempuan emak saudaramu dari sebelah bapa, dan

# - anak perempuan bapa saudaramu dari sebelah ibu serta

# - anak perempuan emak saudaramu dari sebelah ibu


35. Kami telah halalkan bagimu mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya. Perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya.


36. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi

# - menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama, kecuali jika

# - kamu dijemput untuk menghadiri jamuan,


37. Apabila kamu dijemput maka masuklah pada waktu yang ditetapkan, kemudian

# - setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan

# - janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual.


39. Sesungguhnya yang demikian itu

# - menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia

# - merasa malu hendak menyatakan hal itu kepada kamu,

Sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.

# - Apabila kamu meminta sesuatu dari isteri Nabi maka mintalah dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.

# - Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan

# - Tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.

Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.


40. Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan tidak sepenuhnya menutup aurat

# - menemui bapa-bapa mereka, dan

# - anak-anak lelaki mereka, dan

# - saudara-saudara lelaki mereka, dan

# - anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan

# - anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan

# - perempuan-perempuan Islam mereka, serta

# - hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka.

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.


41. Allah dan malaikatNya berselawat memberi penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad s.a.w; wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.


42. Allah melaknatkan di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk azab seksa yang menghina kepada orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya.


43. Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan adalah berdosa.


44. Suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya menutup seluruh tubuhnya semasa mereka keluar. Cara sedemikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik, maka dengan itu mereka tidak diganggu.


45. Sekiranya, jika

# - orang-orang munafik, dan

# - orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta

# - orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti dari perbuatan jahat masing-masing, nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka. Sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja. Serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.


46. Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.


47. Mereka bertanya tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. Mungkin akan datang tak lama lagi.”


48. Sesungguhnya Allah melaknat orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang. Kekalah mereka di dalamnya tanpa pelindung atau penolong.
Mereka berkata dengan sesalnya: "Alangkah baiknya kalau kami dahulu semasa di dunia taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.


49. Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang Yahudi yang telah mencaci Nabi Musa lalu Allah membersihkannya dari segala cacian mereka dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.


50. Bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat benar dalam segala perkara supaya Allah akan memberi taufiq menjayakan amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.


51. Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang untuk memikulnya, tetapi mereka menolaknya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya. Ketika itu manusia dengan persediaan yang ada padanya sanggup memikulnya. Ingatlah, sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.


52. Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka akibatnya Allah akan menyeksa lelaki yang munafik serta perempuan yang munafik dan lelaki yang musyrik serta perempuan yang musyrik dan juga Allah akan menerima taubat lelaki beriman serta perempuan beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.











No comments:

Post a Comment