Sunday, 26 July 2009

058 SURAH AL - MUJAADALAH

BismillahirRahmanirRahim
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


058 SURAH AL - MUJAADALAH

KLIK SINI UNTUK BACA DAN DENGAR SURAHNYA:

http://www.alquran-melayu.com/58-al-mujadilah/


058 SURAH AL - MUJAADALAH

RENGKASAN SURAH



Allah telah mendengar aduan seorang perempuan kepada Muhammad mengenai suaminya yang menyusahkannya.


Mereka yang "ziharkan" isterinya adalah orang yang bersalah kerana isterinya bukanlah ibunya. Setelah "ziharkan" isterinya kemudian mereka hendak berbalik, maka hendaklah suami itu:

# - memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua bercampur. Atau

# - hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut, atau

# - memberi makan enam puluh orang miskin.


Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu serta menjauhi adat Jahiliyah.


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka

# - janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan atau

# - perbuatan derhaka kepada Rasulullah


Berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa.


Sesungguhnya perbuatan berbisik dengan kejahatan itu adalah dari hasutan Syaitan untuk menjadikan orang yang beriman berdukacita, sedang bisikan itu tidak dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah.


Wahai orang-orang yang beriman!

# - Apabila diminta memberi tempat duduk kamu untuk orang lain maka berilah.

# - apabila diminta bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat kamu.

# - apabila kamu hendak mengadap Rasulullah, bersedekah sebelum itu.

# - kalau kamu tak mampu dibolehkan kamu mengadapl tanpanya.


Jangan takut jatuh miskin kerana kerap bersedekah sebelum kamu mengadap. Jika tak mampu maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat sebagaimana yang sewajibnya serta taatlah kepada Allah dan RasulNya.


Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih-mesra dengan orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang yang menentang itu ialah saudara sedarah mereka.


Mereka yang setia akan

# - ditetap oleh Allah iman di hati mereka dan akan

# - dimasukkan mereka ke dalam Syurga,

Kekal mereka di dalamnya.


Allah redo akan mereka dan mereka redo akan nikmat pemberianNya. Mereka adalah

# - penyokong Allah dan adalah

# - orang yang berjaya.


Sesungguhnya orang yang menentang Allah dan RasulNya tetap

# - ditimpa kehinaan dan akan

# - disediakan azab seksa yang hina.


Pada hari kiamat mereka akan diterangkan apa yang mereka telah kerjakan.


Sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada

# - di langit dan

# - di bumi.


Tiada berlaku bisikan antara sekian orang melainkan Dia lah yang ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada.


Pada hari kiamat, Ia akan memberi tahu kepada mereka apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.


Orang Yahudi yang telah dilarang berbisik-bisik, tetapi mereka terus melakukannya. Apabila mereka memberi salam hormat mereka bukan menggunakan lafaz salam hormat anjuran Allah kepadamu.


Mereka berkata sesama sendiri:


"Kalau benar Muhammad utusan Tuhan, maka sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan kata buruk kami kepadanya".


Cukuplah untuk mereka neraka Jahannam sebagai tempat kembalinya.


Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh. Harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah.


Syaitan menguasai dan mempengaruhi mereka sehingga menyebabkan mereka lupa kepada ajaran dan amaran Allah. Mereka yang menentang Allah dan RasulNya adalah golongan yang hina.


Allah telah menetapkan:

"Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan golongan yang menentang".


Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.



TAMAT - RENGKASAN SURAH


______________________________________________________

http://www.alquran-melayu.com/58-al-mujadilah/

058 AL – MUJAADALAH

AYAT DISUSUN MENGIKUT TAJUKNYA



058 PENDAHULUAN SURAH

[1] Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.


[2] Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.


[3] Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.


[4] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.



058 ARAHAN DAN PANDUAN

[9] Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah; dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan).


[10] Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.


[11] Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.


[12] Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


[13] Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan.


[14] Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).


[22] Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.



058 GULUNGAN YANG KUFUR

[5] Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina,


[6] Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.


[7] Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


[8] Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) akan orang-orang (Yahudi) yang telah dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik melakukan perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik berkenaan dengan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah? Dan lagi apabila mereka datang kepadamu, mereka memberi salam hormat bukan dengan lafaz salam hormat yang diberikan Allah kepadamu; dan mereka berkata sesama sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan Tuhan, maka) sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan (kata-kata buruk) yang kami ucapkan itu?" Cukuplah untuk mereka neraka Jahannam, yang mereka akan dibakar di dalamnya; maka itulah seburuk-buruk tempat kembali.


[15] Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.


[16] Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.


[17] harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya.


[18] (Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.


[19] Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.


[20] Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina.


[21] Allah telah menetapkan: "Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang) ". Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.



TAMAT - AYAT DISUSUN MENGIKUT TAJUKNYA



KLIK SINI UNTUK
BACA DAN
DENGAR SURAHNYA:

http://www.alquran-melayu.com/58-al-mujadilah/



No comments:

Post a Comment