Friday, 24 July 2009

051 SURAH ADZ - DAZZRIYAAT

BismillahirRahmanirRahim
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



051 ADZ - DAZZRIYAAT (60 ayat)

RENGKASAN AYAT

Demi

# - angin yang menerbang dan menaburkan debu, bijian benih dan lain-lainnya

# - awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki),

# - kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya,

# - malaikat yang membahagikan perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;

Bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan mengenai hari akhirat tetap benar dan bahawa sesungguhnya balasan amal tetap akan berlaku.

# - Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk, sesungguhnya kamu berlainan pendapat mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w.

# - pada bumi ada tanda membuktikan keesaan dan kekuasaanNya,

# - pada diri kamu sendiri juga ada.

Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan dalil dan bukti itu?

Di langit pula terdapat sebab-sebab rezeki kamu dan apa yang telah ditakdirkan dan dijanjikan kepada kamu.

Apa yang tersebut itu tetap benar, tidak patut diragu-ragukan sebagaimana tidak sepatutnya diragukan benarnya kamu dapat bercakap-cakap.

Ketika malaikat masuk memberi salam pada Nabi Ibrahim (ketika itu Ibrahim tidak mengenalnya) Nabi Ibrahim telah membawa keluar seekor anak lembu gemuk yang dipanggang dan mempersilakan mereka makan. Ibrahim merasa gerun takut tetapi mereka berkata: "Janganlah engkau takut” dan memberitahunya tentang berita gembira bahawa Ibrahim akan beroleh seorang anak.


Isteri Ibrahim menjerit kehairanan sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, bagaimana aku boleh mendapat anak?" Mereka berkata:

"Demikianlah Tuhanmu berfirman, kami hanya menyampaikan sahaja".

Nabi Ibrahim bertanya: "Selain dari itu apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?"

Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa untuk membinasakan mereka. Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah yang dibakar,


Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu mereka mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ (Nabi Lut dan pengikutnya) dan membinasakan mereka yang lainnya.


Ketika Nabi Musa tberjumpa Firaun dengan dalil-dalilnya, Firaun telah berpaling ingkar berdasarkan kepada kekuasaannya sambil berkata: "

Musa itu adalah seorang ahli sihir atau gila!"

Allah kemudian mengambil Firaun bersama-sama tenteranya dan dihumbankan mereka ke dalam laut dalam berkeadaan tercela.


Kesah kaum Aad terdapat juga perkara yang menjadi iktibar. Mereka dihantarkan angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan, menjadikannya kesemuanya hancur.

Juga pada kisah kaum Thamud yang disambar petir.

Kaum Nuh pula dibinasakan juga.


Maka berpalinglah daripada mereka yang menentangmu itu dan janganlah dihiraukan mereka, kerana engkau tidak akan disalahkan setelah engkau memberi amaran kepada mereka.

Tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.

Dan ingatlah Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaNya.

Allah tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Allah tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaNya. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.


Setelah ternyata hakikat yang demikian, maka sesungguhnya mereka yang zalim akan diazab seperti kaum kufur yang terdahulu. Maka janganlah mereka meminta disegerakan kedatangan azab tersebut. Kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang kafir pada hari yang telah dijanjikan itu.

Sesungguhnya mereka yang bertaqwa akan ditempatkan mereka ke dalam beberapa taman Syurga. Keadaan mereka sentiasa menerima nikmat dan rahmat.

# - Mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

# - Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam untuk mereka tidur.

# - Pada waktu akhir malam pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

# - Pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak untuk orang miskin.


Maka binasalah mereka yang sentiasa berkata berdasarkan agak-agak sahaja, Mereka

# - tenggelam alam kejahilan serta

# - lalaikan hari pembalasan.


Mereka secara mengejek bertanya:

"Bilakah datangnya hari pembalasan itu?"

Jawabnya: “hari itu ialah hari mereka diseksa dengan dibakar atas api neraka”.

Katakan lagi: “Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu yang dahulunya kamu minta disegerakan".


Katakanlah: "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah dengan bertaubat dan taat, sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata. Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah, sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata".


Tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila".


Adakah mereka semua telah berpesan-pesan dan mencapai kata sepakat untuk melemparkan tuduhan itu? Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian, bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas.


TAMAT RENGKASAN AYAT


ZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZ


051 ADZ - DAZZRIYAAT (60 ayat)

SUSUNAN AYAT MENGIKUT TAJUKNYA



051 PENDAHULUAN

[1] Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih, dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya, -


[2] Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki),


[3] Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya, -


[4] Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;


[5] (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar;


[6] Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku.


[7] Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,


[8] Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w).


[9] Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).



051 KEKUASAAN ALLAH

20] Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,


[21] Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?


[22] Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.


[23] Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata.



051 KESAH NABI

[24] Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?


[25] Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.


[26] Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).


[27] Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan".


[28] (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.


[29] (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?"


[30] Mereka berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui".


[31] Nabi Ibrahim bertanya: "(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?"


[32] Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);


[33] "Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),


[34] "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".


[35] (Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.


[36] (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).


[37] Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


[38] Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), - ketika kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.


[39] Maka Firaun berpaling ingkar dengan berdasarkan kekuasaannya sambil berkata: "(Musa itu) adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!"


[40] Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.


[41] Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), - ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan; -


[42] Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.


[43] Dan juga pada (kisah) kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi pelajaran) - ketika dikatakan kepada mereka: "Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu (yang termaklum)!"


[44] Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.


[45] Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.


[46] Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.


[47] Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.


[48] Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.


[49] Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).



051 ARAHAN DAN PANDUAN

[54] Oleh itu, berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka (yang menentangmu itu dan janganlah dihiraukan), kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau memberi amaran kepada mereka).


[55] Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.


[56] Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.


[57] Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.


[58] Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.


[59] (Setelah ternyata hakikat yang demikian), maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (yang menentang ajaran Nabi Muhammad) itu ada bahagiannya (dari azab seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka (kaum kafir yang telah lalu). Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaKu menyegerakan kedatangannya.


[60] Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan kepada mereka.



051 GULUNGAN YANG TAAT

[15] Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.


[16] (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.


[17] Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.


[18] Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).


[19] Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).



051 GULUNGAN YANG KUFUR

[10] Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja,


[11] (Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).


[12] Mereka bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari pembalasan itu?"


[13] (Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka,

-
[14] (Sambil dikatakan kepada mereka): "Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya".


[50] (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.


[51] "Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata".


[52] Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) - tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila".


[53] Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).



TAMAT - SUSUNAN AYAT MENGIKUT TAJUKNYA

############

ZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZ


KLIK SINI
JIKA NAK
BACA DAN DENGAR SURAHNYA:

http://www.alquran-melayu.com/51-az-zariyat/














No comments:

Post a Comment